Jumaat, 29 November 2013

Bab 2

Dianjak layu, dianggur mati
~Keputusan yang tidak dapat diubah lagi



Sudah dua minggu Ilyana menjadi penghuni Desasiswa Permai di Universiti Sains Malaysia. Keadaan di kampus itu bukan lagi menjadi perkara baharu baginya kerana sebelum ini pun dia pernah menjadi mahasiswa di kampus itu. Cuma kali ini dia di situ lagi bagi merealisasikan hasratnya untuk bergelar pendidik. Jawatan sebagai editor di Syarikat Ilham Kreatif yang disandangnya sebelum ini tidak mampu memberi komitmen untuknya aktif menghasilkan karya. Lantas dia mengubah bidang pekerjaan.
Seperti rutin, pada waktu petang Yana gemar lepak di dalam bilik sekiranya tiada kelas. Sementara menunggu senja berlabuh, dia membelek-belek Majalah Mingguan yang baru dibelinya tadi. Namun, satu halaman pun tidak menarik perhatiannya. Dia mengubah posisinya. Sambil baring, dia membelek lagi majalah itu. Dia tidak boleh memberi tumpuan terhadap apa jua yang dilakukannya. Mindanya masih teringat akan panggilan yang baru diterimanya sebentar tadi. Jam lapan abang datang ambil Yana kat asrama. Fikirannya runsing memikirkan tujuan kedatangan Razlan ke USM. Dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang bukannya dekat. Paling tidak lima jam perjalanan. Sedangkan esok baru hari Jumaat. Takkanlah Razlan tidak bekerja? Paling dibimbangkan, macam mana dia nak menghadapi saat-saat makan malam dengan Razlan nanti. Dia membelek-belek lagi majalah Mingguan Wanita itu dengan membiarkan persoalan yang bermain di fikirannya itu tergantung di situ kerana dia sendiri tidak mampu menjawabnya.
Mendengar azan maghrib berkumandang dari Masjid Al Khalik, Yana terus segera ke bilik air untuk berwuduk. Seperti yang dijanjikan, jam lapan malam Yana telah bersiap-siap untuk keluar. Hatinya berdebar-debar menunggu panggilan daripada Razlan. Pelik dirasakan kali ini.
“Hello…Yana dah siap? Abang ada kat bawah ni.”
“Ya, nanti Yana turun.”



Sejurus Yana masuk ke perut Toyota Altis, kenderaan itu meluncur meninggalkan Desasiswa Permai.
“Kenapa diam? Yana tidak suka abang datang?” Soal Razlan memecah kesunyian sambil melirik ke arahnya. Yana buat-buat tidak tahu saja perlakuan Razlan itu.
“Abang rindukan Yana,” ucap Razlan lagi.Tangan Yana disentuh lembut. Yana terdiam dengan kelakuan Razlan itu.
“Kenapa tak nak cakap?” Digenggamnya tangan Yana perlahan.
“Tak ada apa yang nak dicakapkan.” Akhirnya Yana bersuara jua tetapi jawapan itu pasti agak mengecewakan Razlan.
Nampaknya Yana masih tidak dapat menerima abang. Razlan mengeluh. Razlan tidak menyangka begitu layanan Yana terhadapnya. Sememangnya dia menerima keadaan itu dengan seribu kekecewaan. Namun, dia perlu bersabar. Gadis di sisinya itu memang sukar dijinakkan. Dia akan usahakan agar satu hari nanti Yana pasti akan mengalah kepadanya juga. Akan diikhtiarkannya untuk membuatkan gadis itu menyesal suatu hari nanti.
Kereta terus meluncur. Masing-masing masih membatu. Razlan sudah malas berbual-bual dengan Yana yang sememangnya tidak berminat untuk berbual-bual dengannya. Lagu Kuintai Cinta Dalam Rahsia yang berkumandang di corong radio itu meremukkan hati Razlan yang sememangnya mengharapkan cinta daripada Yana.
Lewat malam barulah dia sampai di desa. Entah apa mimpi Razlan bawa dia makan malam ke Teluk Tempoyak. Katanya susah nak makan ikan bakar yang sedap kat Penang melainkan hanya di sana sahaja. Entah betul atau tidak, tak diketahuinya. Atau mungkin sengaja Razlan memberi alasan sebegitu. Malas dia nak fikirkan perkara remeh macam itu kerana badannya sungguh penat.



“Esok kelas Yana mula pukul berapa?” Soal Razlan sejurus menolak pintu kereta mahu keluar.
“Pukul 10 pagi.”
“Pukul 8.30 kita sarapan sama yea? Nanti abang telefon.”
“Emm,” jawab Yana sepatah lalu keluar dari kereta.
“Dari mana ni kak, baru balik?” Soal salah seorang rakan junior yang sedang menonton televisyen di tempat rehat bertanya.
“Keluar makan tadi. Cerita apa ni?”
“Entahlah, baru je tengok. Yani tengah tunggu air masak ni, lepaklah kat sini kejap.”
“Akak masuklah dululah yea.”
“Akak, tadi Kak Akmar cari akak tadi. Tak taulah sebab apa.”
“Ooo. Terima kasih yea.
Apa hal pula Akmar cari dia? Yana berteka-teki sendirian. Biar esok sajalah dia bertanya. Sekarang ni badannya begitu penat. Dalam mindanya kini hanya nak melelapkan mata merehatkan diri. Solat Isyak perlu ditunaikan terlebih dahulu sebelum dia lena.


Keesokan paginya Yana mempelawa Akmar makan bersama mereka di kafe Desasiswa Cahaya kerana di situ banyak pilihan makanan.
“Hei Yana!” Kemunculan Irfan itu semestinya mengejutkan Yana. Dia yang sedang tunduk menikmati makan pagi itu tersentak lalu berpaling ke arah suara itu. Kau buat apa di sini Irfan?
“Aku student sini. Kau?”
“Aku pun.”
“Lama tak jumpa, tak sangka kat sini kita jumpa semula.”
Tanpa dipelawa, Irfan duduk di kerusi kosong tepinya.
“Saya Irfan, kawan lama Yana. Kawan istimewa dia,” beritahu Irfan diiringi gelak ketawa sambil menghulurkan tangan kepada Razlan. Yana yang berada di tepinya terkejut sakan. Merah padam mukanya macam udang kena bakar.
“Ooohhh. Dah lamalah ni kenal dengan Yana.”
“Sejak sama-sama menuntut di sini dulu, empat tahun lepas. Abang??”
“Agak-agaknya?” soal Razlan kembali.
“Ntahlah. Abang dia kot.”
“Abang sepupulah,” Yana bersuara.
“Oh, ye ke? Petang nanti kita keluar, nak tak Yana? Dah lama kita tak berbual-bual,” pelawa Irfan. Yana diam. Belumpun sempat Yana bersuara, Abang Razlan mencelah. “Tadi kan Yana dah janji nak bawa abang bersiar-siar sekitar Penang ni. Dah lupa ke??” Yana tercengang-cengang. Seingatnya, dia tak berjanji apa-apa pun dengan abang sepupunya itu.
“Kalau gitu, lain kalilah kita keluar. Abang Razlan datang dari jauh, rugi pula kalau tak jalan-jalan sekitar Penang ni,” ucap Irfan.
“Oklah, dah 9.30 ni. Saya ada temu janji dengan kawan. Saya pergi dulu ye. Jumpa lagi kat kelas nanti.”
“Yana dengan Irfan memang rapatlah?” soal Abang Razlan semacam seorang polis ingin menyiasat pesalahnya.
“Dia coursematte Yana dulu.”
“Dah rapatlah tu dengan dia sebab dah lama kenal. Rasanya dengan abang, baru lagikan?”

“Nampaknya Irfan suka lagi kat Yana tu. Hati-hati Yana. Cuma abang minta, jangan ketepikan abang dan jangan buat abang cemburu. Yana dah jadi milik abang walaupun orang lain tak tahu. Sekarang ni Yana pandai-pandailah bawa diri di tempat orang yang jauh dari abang ni.”
Yana tidak bersuara.Dia hanya tersenyum dngin.
“Jomlah abang hantar Yana ke kelas.”
“Tak apalah. Yana boleh jalan kaki.”
“Janganlah menolak. Jom. Tangan Yana ditarik Razlan macam budak kecil.” Tanpa sepatah kata, Yana akur sahaja berjalan beriringan Razlan.
Di dalam kereta, Yana diam membisu.
“Kenapa ni? Takkan dah merajuk? Abang bukannya marah kat Yana tadi, cuma nak ingatkan saja.”

“Abang minta maaf kalau Yana tersinggung dengan kata-kata abang tadi. Terus terang abang katakan yang abang betul-betul cemburu apabila Yana berbual-bual mesra dengan Irfan tadi. Sedangkan dengan abang, Yana langsung tidak mahu bercakap.” Tangan Yana digenggam erat seolah-olah mahu Yana mengerti perasaannya terhadap Yana.
Yana diam sambil tunduk memandang ke bawah. Tiba-tiba sebutir mutiara terjatuh di atas tangan Razlan.
“Kenapa menangis?” soal Razlan agak panik dengan kelakuan Yana.
“Yana perlukan masa lagi untuk kenali hati budi abang. Yana juga minta maaf kalau abang terasa dengan sikap Yana, tapi abang tak boleh paksa Yana.”
“Abang takkan paksa Yana, Yana ambiklah seberapa banyak masa yang diperlukan. Tapi Yana tak boleh halang abang datang sini untuk jumpa Yana.”
“Petang nanti abang akan telefon Yana,yea. Kita keluar jalan-jalan.”
“Oklah,”ucap Yana perlahan. Dia masih lagi keliru dan bersalah dengan apa yang berlaku tadi. Namun, Yana cepat-cepat menenangkan diri kerana keruh wajahnya nanti akan mengundang seribu pertanyaan dan persoalan dari kawan-kawan yang lain.
Tamat kelas Dr. Noriah, Yana cepat-cepat menarik tangan Akmar keluar dari bilik Kuliah S menuju ke perpustakaan. Dia juga ingin mengelak daripada berjumpa dengan Irfan.
“Kau nak makan tengah hari?” soal Akmar sebaik sahaja mereka keluar dari library.
“Tak naklah. Kenyang lagi makan nasi lemak tadi. Kita ke library nak?”
Akmar mengangguk.
“Cari buku apa? Yana tersentak. Terkejut. Suara itu memang dia kenal benar. Dia memandang ke kiri.
“Nak cari buku psikologi kelas Dr. Noriah.”
“Nak buat assignment?”
Dia mengangguk.
“Kelas tadi sempat tak salin nota?”
“Kenapa?”
“Saya mengantuk tadi. Jadi ada banyak yang tertinggal. Boleh saya pinjam nota Yana?”
“Boleh. Tak ada masalah,”ucap Yana sambil menghulurkan nota Psikologi dan Keperluan Pelajar yang memang dah ada di tangannya kepada Irfan.
“Boleh saya minta nombor telefon Yana? Nanti senanglah bila saya nak pulangkan buku ni.”
“O.k. Ini nombor telefon saya.” Bagaikan dipukau, tindakan Yana amat luar biasa sekali. Selama ini dia sukar memberikan number telefonnya kepada kawan-kawan lelaki yang lain tetapi lain pula apabila berhadapan dengan Irfan. Mungkin kerana mereka pernah bersahabat sebelum ini menyebabkan dia mempercayai lelaki itu. Walaupun dia cuba menjauhkan diri daripada Irfan, namun hatinya tidak berupaya membohongi dirinya. Berjumpa dengan Irfan, dia rasa gembira. Itulah hakikatnya yang sukar dinafikan.
“Hei. Mamat tu pikat kau lagi ke?” Akmar yang sejak tadi memerhatikan mereka berdua mendekati Yana setelah Irfan berlalu dari situ.
“Mana ada. Dia pinjam buku akulah.”
“Taktiklah tu. Dapat tak buku yang nak dipinjam?”
“Ni. Tunjuk Yana sambil tersenyum.”
“Jomlah kita balik.”

Isnin, 25 November 2013

TAKDIR ITU INDAH

BAB 1:Seperti duri dalam daging-Sesuatu perkara yang tidak menyenangkan




Keasyikan melakukan kerja-kerja terakhir mengedit manuskrip novel daripada salah seorang yang sedang mencipta nama melekakan Yana. Hampir tiga jam dia menghadap komputer. Tidak terasa pantasnya masa berlalu. Waktu makan tengah hari sudah setengah jam berlalu, namun dia tetap tekun meneliti huruf-huruf di skrin komputer. Nani, teman sepejabat Yana datang menyapa.
“Tak makan tengah hari?” Soal Nani menghampiri Yana yang sedang tekun melakukannya kerjanya.
“Dah tiba waktu makan tengah hari? Tak perasan pun,” ujar Yana sambil mengerling jam di tangannya.
“Dah lama dah. Kenapa kusyuk sangat hari ni?”
“Seronok buat kerja ni.” Yana menunjukkan jari telunjuk ke arah komputer yang berada di depannya.
“Edit novel baharu?”
“Aaah…”
“Tadi encik Kamal ada beritahu kau nak berhenti kerja dua minggu lagi. Kenapa?”
“Tiga minggu lagikan aku nak kahwin.”
“Aku tahulah kau nak kahwin tiga minggu lagi, tapi takkanlah sampai nak berhenti kerja?”
“Tunang aku kerja kat Shah Alam. Kerja macam kita ni, mana-mana syarikat penerbitan pun ada peluang.”
“Baguslah kalau kau masih nak kerja di sana. Ingatkan kau akan jadi suri rumah tangga sepenuh masa.’
“Aku ada cita-cita sendiri. Takkan nak terperak kat rumah saja. Kau dah makan tengah hari? Kalau belum, jomlah.”
“Tak lagi. Jomlah.”
Setelah mengelik item save, Yana mengemas meja sebelum melangkah keluar.
“Aku tanya kau sesuatu, boleh?” Soal Nani setelah mereka melangkah keluar dari bangunan pejabat mereka untuk ke tempat letak kereta.
“Sejak bila kau begitu bersopan nak bertanya aku ni,” perli Yana sambil menekan alat kawalan kunci kereta.
“Soalan aku ni agak peribadi dan sensitif sikit. Takut kau tersinggung je.”
“Kalau aku boleh jawab, aku jawablah.”
“Kenapa aku tengok kau macam tak gembira pun walaupun majlis dah tak lama lagi.”
“Entahlah, mungkin kerja terlalau banyak agaknya. Rasa gembira tu dah terselindung di sebalik bebanan kerja agaknya,” ucap Yana bersahaja.
“Kalau macam tu, tak apalah. Aku Cuma bimbang jika ada sebab-sebab lain je.”
“Sebab-sebab lain? Sebab apa?” Soal Yana sambil hati-hati keluar dari simpang tiga menuju ke kedai makan yang selalu mereka kunjungi.

“Aku rasa kau macam terpaksa kahwin je.” Mendatar sahaja suara Nani.  
 Bagai halilintar menyambar di langit. Jantung Yana berdegup kencang memamah kata-kata Nani. Sungguh tajam dan pedih rasanya. Namun, biarlah dia sendiri yang terasa.
Suasana diam seketika. Hanya kedengaran radio yang berkumandang.
“Kita pergi makan kat tempat biasalah.” Yana bersura seolah-olah kata-kata yang diucapkan oleh Nani tadi tiada apa-apa kesan kepadanya.
“Aku tak kisah kat mana pun asalkan dapat makan.”

Sepatutnya Yana telah sibuk membuat persediaan perkahwinan menjelang dua minggu perkahwinannya, namun dia masih lagi berada di Pulau Pinang. Seminggu lagi dia akan mula bercuti. Segala persiapan perkahwinan diserahkan kepada ibunya apatah lagi apabila ibunya begitu teruja menguruskan majlis perkahwinan anak perempuan sulungnya. Alasan banyak kerja yang perlu dibereskan sebelum dia berhenti kerja melenyapkan segala kemusykilan dan pertanyaan di hati keluarganya. Biarpun Nani seakan dapat menghidu sebab lain, Yana tetap bersikap selamba seolah-olah tiada apa-apa yang dirahsiakannnya.
“Apa yang termenung tu?” Usik Nani.
“Tak ada apa-apa. Sepatutnya sekarang ni aku dah ada kat kampung uruskan apa yang patut. Tapi, kau tengoklah saat-saat ni pun aku masih lagi mengadap kerja kat ofis. Kau bawa apa lagi tu? Sengaja Yana bersuara seperti itu supaya Nani tidak bertanya lanjut. Sebenarnya Yana rimas dengan sikap Nani yang suka bertanyakan hal peribadinya.
“Salah kau juga sebab minta berhenti lambat sangat. Jangan nak salahkan bos pula.” Sindir Nani sambil menyerahkan tiga helai kertas yang sarat dengan tulisan kepada Yana.
Ada sebab Yana bertindak sedemikian. Namun, dia tidak menyangka pula saat-saat akhir begini banyak pula kerja yang perlu dilakukannya.

“Dah ada pengganti aku?” Soal Yana sebaik sahaja kertas bertukar tangan.
“Belum lagi.”
Yana berkerut.
“Tak payahlah kau nak fikirkan masalah tu. Pandailah bos nak selesaikan nanti kalau betul-betul tak ada pengganti.
“Aku sebenarnya sayang nak lepaskan kerja ni. Penulisan ni dah jadi sebahagian daripada hidup aku. Tapi, apa nak buat. Takkan nak tinggalkan suami semata-mata nak kejar impian.” Yana meluahkan perasaannya.
“Aku memang tahu kau begitu komited dengan kerjaya kau ni. Janganlah bimbang, kat Shah Alam nanti banyak tempat kau boleh cuba nasib.”
“Harap-harap begitulah.”

Yana memerhati ayahnya yang dibantu oleh beberapa orang lelaki sedang memasang khemah. Empat khemah semuanya. Dua khemah untuk lelaki dan dua khemah untuk wanita. Halaman yang luas membolehkan khemah-khemah tersebut berdiri tanpa gangguan. Lusa merupakan detik yang akan menukar statusnya menjadi isteri orang. Semacam ada sesuatu yang tidak kena dengan status tersebut. Biarpun cuma tinggal dua hari lagi, namun perasaan terhadap tunangnya Razlan tetap sama seperti masa mula-mula bertunang dahulu. Tiada sedikit rasa cinta kepada tunangnya. Jika singkat pemikirannya, ingin sekali dia menamatkan tali pertunangan itu.
Disebabkan banyak pula masalah lain yang akan timbul jika dia mengambil keputusan yang drastik itu, Yana terpaksa akur. Segala persiapan sedang rancak dijalankan. Jika tiba-tiba majlis dibatalkan, mana nak diletakkan maruah keluarganya. Pasti akan heboh satu kampung jika dia memutuskan pertunangan itu. Ibu saudaranya yang selalu berulang-alik ke rumahnya juga yang akan menjadi ibu mentuanya nanti. Macam mana pula hubungan kekeluargaan mereka nanti.Banyak hati yang perlu dijaga menyebabkan dia sulit untuk membuat keputusan sendiri. Yana berlalu ke bilik apabila mendengar telefonnya berdering.
Melihat nama Razlan di skrin, hati Yana menjadi sayu. Dibiarkan panggilan itu bertalu-talu hingga berhenti dengan sendirinya.
“Akak, Abang Razlan telefon.” Yati bersuara dari ruang tamu.
Dengan seribu rasa bersalah, Yana menyambut panggilan yang cuba dielakkannya tadi. Namun, tidak sampai hati pula untuk mengecewakannya buat kali kedua. Lagipun, apa pula fikiran Yati apabila dia menolak untuk menjawab panggilan itu.
“Kenapa Yana tak jawab panggilan abang tadi?” Razlan bersuara sebaik saja Yana menyambut panggilan itu.
“Tak dengar. Tadi ada kat dapur,” lancar sahaja ayat itu keluar daripada mulut Yana. Biarlah. Dia tidak mahu Razlan tahu bahawa hatinya serba salah kini.
“Abang nak ajak Yana pergi ambil cincin.”
“Kita belum kahwin lagi. Lagipun, dua hari lagi kita akan kahwin, rasanya tidak elok kalau kita keluar sama-sama. Nanti apa kata jiran.” Yana berbasi.
“Kalau macam tu, tak apalah.Tapi, kalau cincin tu tak cantik, Yana jangan marah kat abang.”
“Taklah. Yana o.k saja. Yana banyak kerja ni. Banyak perkara yang tak siap lagi.” Sekali lagi Yana beralasan. Padahal semua persiapan telah selesai dibuat oleh ibunya. Mengapa dia harus menonjolkan sikap yang agak dingin dan kurang gembira menjelang majlis perkahwinannya?
Debaran menantikan berakhirnya hari yang ditunggu-tunggu kini lenyap. Majlis raja sehari yang dirancang oleh ibunya semalam berlangsung dengan lancar walaupun tidak dihadiri teman-teman baiknya sama ada semasa di bangku sekolah atau pun di tempat kerja.
Pagi itu Yana terjaga agak awal berbanding pagi-pagi sebelumnya. Dia dikejutkan oleh Razlan pada jam 6.20 pagi. Jaga dari lena, dia mula rasa statusnya sudah berubah. Jika sebelum ini dia berseorangan tapi kini sudah berteman.
“Apa lagi yang termenung tu? Lekaslah pergi mandi.” Nanti kita solat berjemaah. Razlan bersuara apabila melihat Yana masih tidak berganjak dari katil.
Dengan langkah yang masih diselimuti kemalasan, Yana bangkit dari katil lalu mencapai tuala menuju ke bilik air. Selepas menunaikan solat subuh berjemaah, Yana turun kerana perutnya sudah berbunyi.
“Awal pengantin bangun? Lena tidur malam tadi?” Usik Mak Nab, ibu saudaranya yang merupakan adik kepada ayahnya yang tinggal di Kuantan.
“Mestilah lena tidur sebab ada orang temankan. Sedap bau nasi goreng yang Mak Nab masak ni,” ucap Yana sambil mengacau nasi yang baru hendak disebatikan dalam kuali. Bau harum dari kuali itu menusuk ke hidung.
“Pagi ni Mak Nab tolong masakkan untuk sarapan pagi. Esok-esok Yana kenalah masak sendiri.”
“Suami Yana makan roti je untuk sarapan pagi”.
“Makan roti pun isteri kena sediakan juga.”
Usai memasak nasi goreng, Yana duduk di meja makan menghadap cekodok yang masih panas kerana baru digoreng.
“Makan seorang saja? Suami kat atas tu nak tinggal kat mana?” Tegur Mak Nab lagi apabila melihat Yana keseorangan menghadap cekodok di dapur.
Yana berhenti mengunyah. Dia terlupa tentang itu.
“Belum sarapan lagi. Baru nak cuba ni.”
“Razlan suka minum air apa untuk sarapan?”
“Entahlah. Tapi dia tak cerewet.”
“Yana buatlah air dulu.Lepas sarapan jangan lupa basuh periuk belanga. Mendatar suara Mak Nab memberikan arahan kepada Yana.
“Pengantin pun kena cuci periuk belanga?”
“Dah memang macam tu. Yana pun kena jugalah.”

“Kenapa Yana tidak boleh menerima abang?” Tiba-tiba Razlan bersuara. Yana hanya mendiamkan diri kerana sukar baginya menjelaskan sebab-sebabnya. Periuk yang ada di tangannya disental kuat-kuat agar kesan hitam yang melekat di bahagian luarnya dapat dihilangkan.
“Yana…” Razlan bersuara lagi.
“Entahlah. Tak perlulah abang nak ungkitkan hal tu. Yang penting kita sental periuk ni cepat-cepat.” Omel Yana sambil menarik muka masam. Sangkanya, Razlan tidak akan mengungkit persoalan itu lagi. Tetapi tidak rupa-rupanya.
“Hai pengantin, kenapa muka masam mencuka tu? Orang lain pun basuh periuk juga, tapi taklah masam macam tu.” Mak Nab berbasi.
Yana berpura-pura senyum sambil bersuara menyembunyikan rasa kurang senang di hati, “ Susah nak tanggallah jelaga di periuk ni. Sebenarnya ada perkara lain yang menyebabkan dia menarik muka masam. Kedua-dua abang telah balik. Belumpun semuanya beres, mereka angkat kaki. Dulu, masa mereka kahwin, tak pula mereka disuruh membasuh periuk belanga kerana ada orang lain yang tolong. Kasihan melihat mak yang terbongkok-bongkok keseorangan mencuci periuk belanga, Yana turun menghulurkan tenaga sedangkan si pengantin seronok-seronok di dalam rumah.
Majlis bertandang ke rumah pengantin lelaki akan dilangsungkan dua hari lagi. Majlis itu nanti hanya dihadiri saudara mara terdekat sahaja memandangkan kenduri kahwin tempoh hari sudah diadakan secara besar-besaran.

“Mak tak tahu pun Yana ada minta jadi cikgu.” Mak Senah bersuara sambil melabuhkan punggung di sisi Yana yang sedang membuka hadiah yang diperoleh semasa kenduri semalam.
“Mana mak tahu?” Soal Yana.
“Ada surat kat atas tv tu. Tadi baru sampai.”
“Ye ke? Surat apa?” Soal Yana sambil bangun menuju ke rak televisyen.
“Alhamdulillah.” Terpacul kata-kata itu daripada mulut Yana sebaik sahaja meneliti kandungan surat dari USM yang baru dibukanya. Mungkin itu jalan yang terbaik untuknya mengelakkan diri daripada berdepan dengan situasi sekarang.
“Berapa lama pengajian Yana tu nanti?” Soal Mak Senah sambil memandang tepat ke arahnya.
“Setahun saja.”
“Jadi setahunlah kamu berdua akan berjauhan nanti? Razlan, diam saja tu. Setuju tak Yana sambung belajar ni?”
“Saya tak kisah, mak. Lagipun saya suka jika Yana jadi cikgu sebab kerja separuh hari je. Nanti banyaklah masa untuk keluarga.” Razlan bersuara meluahkan harapannya yang melegakan hati Yana.
“Jangan lupa sekarang ni Yana dah jadi isteri. Apa-apa pun perkara yang nak dibuat mesti minta izin daripada suami dulu walaupun dah dapat kebenaran untuk sambung belajar.” Pesan Mak Senah sambil mengerling ke arah Razlan.
“Setahun bukannya lama. Saya boleh ulang-alik ke sana nanti.” Razlan bersuara.
“Memang tidak lama tapi kamu tu baru saja kahwin.”
“Habis tu nak buat macam mana, peluang bukannya datang selalu. Sekarang nilah peluang Yana, mak. Lagipun, Yana bukannya tak biasa di Pulau Pinang tu. Mak janganlah bimbang.”
“Mak tahu…tapi mak bimbang juga kalau-kalau pelajaran di sana mengganggu tanggungjawab Yana.” Mak Senah menyuarakan isi hatinya memandangkan antara Yana dengan Razlan, mereka belum saling mengenali hati budi masing-masing. Jika berjauhan, bimbang pula sesuatu yang tidak manis berlaku dalam rumah tangga mereka. Apatah lagi apabila dia kerap mendengar cerita yang kurang baik akibat suami isteri tinggal berjauhan.


Berita tentang peluang untuk menyambung pelajaran dalam bidang perguruan telah dimaklumkan kepada keluarga mentua Yana semasa majlis bertandang yang diadakan secara ala kadar sahaja semalam. Tiada seorangpun yang membantah atau menyuarakan perasaan tidak puas hati. Malah ibu mentuanya amat gembira mendengar berita itu dan menyifatkan bahawa berita itu merupakan rezeki atas perkahwinan mereka.
Mak Som juga turut menyarankan agar mereka bertolak lebih awal ke Pulau Pinang supaya sempat berbulan madu di sana. Sebagai hadiah perkahwinan daripada pihak lelaki, Mak Som akan mengeluarkan perbelanjaan untuk mereka berbulan madu. Yana serba salah dengan cadangan itu . Mana mungkin mereka berbulan madu dalam masa yang terdekat kerana dia belum lagi bersedia untuk menempuh alam itu. Mahu tidak mahu, Yana terpaksa memberanikan diri bersuara kepada Razlan agar tidak menuruti cadangan itu.
“Saya tak nak pergi bulan madu.” Yana bersuara sebaik saja melihat Razlan masuk ke bilik untuk solat asar.
“Kita terima sajalah. Namanya saja berbulan madu, tak berbulan madu pun tak apa. Malaslah abang nak beri alasan kepada mak dan ayah bila kita menolak cadangan tu.”
“Sekadar nak menghabiskan duit, lebih baik tak perlu pergi. Membazir saja. Tak apalah, nanti saya cakap dengan mak.” Tegas Yana.
“Macam mana, jadi tak berbulan madu tu?” Soal Mak Som kepada semasa mereka sedang menikmati makan malam.
“Tak sempatlah mak. Kalau nak berbulan madu, sepatutnya esok dah kena bertolak, tapi sekarang ni persiapan pun tak buat lagi. Lain kalilah, mak.” Yana bersuara.
“Suka hati Yanalah.Mak tak kisah.”
“Masa ayah dengan mak kahwin dulu, mana ada bulan madu,” pintas Pak Bakar.
“Zaman dah berubah. Zaman dulu lain, zaman sekarang lain,” sampuk Mak Som.
“Ummi tak kisah. Kak Leha ajak sarapan di rumah dia esok. Petang tadi dia pesan,” ujar Aini,adik bongsu Razlan yang sebaya Yati.
“Jangan lupa pula, tengah hari esok Mak Kiah ajak makan di rumah dia pula, ummi mencelah.
“Seronoknya kak Yana, tiap-tiap hari ada-ada saja jemputan. Kalau macam ni, saya pun nak kahwin cepat jugaklah,” Aini bersuara.
“Amboi, belajar belum habis lagi, kerja entah ke mana,dah nak berkahwin?” ummi bersuara.
“Aini bergurau jelah mi,” ucap Aini seakan bersalah kerana kata-katanya tadi telah menyebabkan umminya berubah wajah.
“Aini dah ada orang yang istimewa?” soal Yana.
“Belum ada lagilah, kak. Malaslah nak fikir pasal ni. Tadi tu Aini bergurau saja.”







Ahad, 10 November 2013

Blog Ilham Hati



Gembiranya apabila berjaya mewujudkan satu blog lagi.Blog ini hanya untuk catatan hasil penulisan kreatif saja.